Rabu, 27 Syaaban 1443 Hijrah/30 Mac 2022 Saya rasa terpanggil untuk merakamkan kisah Kampung Masjid Pelabuhan Klang ini ketika saya dan abang saya, Sulaiman Mohd Idrus menjejakkan kaki di Kampung ini untuk menghadiri sebuah Majlis Perkahwinan anak Tuan Haji Ismail Kelantan. Ketika melangkah masuk ke Kampung ini, saya terbayang akan kisah-kisah silam semasa saya dan rakan-rakan sedang membesar di Kampung ini. Kampung sekarang telah banyak berubah dan tidak lagi seperti Kampung asal. Rumah-rumah yang terdapat sekarang didapati berhimpit-himpit dan sesak. Rumah-rumah asal semuanya berkaki, bertangga kayu dan tersusun sehingga membolehkan saya dan rakan-rakan berlari, berkejar-kejaran dan berbasikal dengan mudah. Rumah asal lama yang terdapat sekarang hanyalah rumah Arwah Mak Bedah Pak Aid. Itupun sudah hampir menyembah bumi. Tapak rumah asal saya kini telah menjadi sebahagian daripada kawasan depan Masjid Jamek As Samadiah sekarang. ...