Rabu, 27 Syaaban 1443 Hijrah/30 Mac 2022
Saya rasa terpanggil untuk merakamkan kisah Kampung Masjid Pelabuhan Klang ini ketika saya dan abang saya, Sulaiman Mohd Idrus menjejakkan kaki di Kampung ini untuk menghadiri sebuah Majlis Perkahwinan anak Tuan Haji Ismail Kelantan.
Ketika melangkah masuk ke Kampung ini, saya terbayang akan kisah-kisah silam semasa saya dan rakan-rakan sedang membesar di Kampung ini.
Kampung sekarang telah banyak berubah dan tidak lagi seperti Kampung asal. Rumah-rumah yang terdapat sekarang didapati berhimpit-himpit dan sesak. Rumah-rumah asal semuanya berkaki, bertangga kayu dan tersusun sehingga membolehkan saya dan rakan-rakan berlari, berkejar-kejaran dan berbasikal dengan mudah. Rumah asal lama yang terdapat sekarang hanyalah rumah Arwah Mak Bedah Pak Aid. Itupun sudah hampir menyembah bumi.
Tapak rumah asal saya kini telah menjadi sebahagian daripada kawasan depan Masjid Jamek As Samadiah sekarang.
Selepas Masjid asal dirobohkan pada tahun 1965 untuk pembinaan Masjid Baru, beberapa buah rumah kampung di belakang dan di sekitar Masjid tersebut terpaksa dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan Masjid Baru. Ini termasik rumah saya di mana tapaknya kini telah menjadi sebahagian daripada kawasan depan Masjid As-Samadiah.
Masjid asal didirikan di atas sebidang tanah Wakaf pada sekitar akhir tahun 30-an atau awal tahun 40-an. Tanah Wakaf ini dikatakan telah diwakafkan oleh seorang Dermawan bernama Tn Hj Ismail, seorang pegawai Kastam. Tanah Wakaf ini memanjang ke belakang dari Jalan Watson (nama lama) sehingga ke Jalan Samy (nama lama).
Kampung Masjid lama merangkumi rumah-rumah di Tanah Wakaf ini dan rumah-rumah di sekitar tanah tersebut. Terdapat lebih kurang 40 buah rumah kesemuanya.
Imam Pertama kepada Masjid asal Port Swettenham (nama lama) ialah Tn Hj Yunus, bapa saudara kepada ayah saya, Mohd Idrus Dahlan. Imam Hj Yunus yang berasal dari Sabak Bernam menetap di kawasan belakang Masjid tersebut. Selepas beliau meninggal dunia, Ayah saya sekeluarga telah pindah ke rumah tersebut di mana kami adik beradik dibesarkan.
Allahyarham Imam Hj Yunus telah diganti oleh anak saudaranya, Imam Hj Tamin B Idris, sepupu Ayah saya. Imam Hj Tamin menjadi Imam Masjid tersebut sehingga siap Masjid baru, Masjid As Samadiah.
Setelah Imam Tamin meninggal dunia pada akhir tahun 60-an, Ayah saya, Mohd Idrus Dahlan (Long Derus) telah menggantikan Allahyarham. Ayah saya telah menjadi Imam Masjid As Samadiah dan Jurunikah Pelabuhan Klang sehingga awal tahun 80-an. Sesudah itu, JAIS telah mengambil alih pengurusan Masjid tersebut dengan menyediakan Imam bergaji tetap lantikan JAIS.
Nama Masjid As-Samadiah adalah sempena nama seorang Dermawan bernama Pak Samad (Pak Samad Keramat). Beliau telah menyerahkan dermanya kepada DYMM Sultan Selangor ketika itu untuk pembinaan Masjid Baru yang lebih besar.
Masjid baru As-Samadiah telah siap dibina pada sekitar tahun 1967 dan dirasmikan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Masjid Lama Port Swettenham
Masjid lama diperbuat daripada batu. Ia bersaiz kecil. Dewan solat utama boleh menampung kira-kira lebih seratus (100) orang jemaah. Di bahagian sayap kiri, kanan dan belakang Dewan Utama Masjid mampu menampung lebih seratus orang jemaah lagi. Masjid ini dibina untuk kegunaan para penduduk Kampung Masjid dan kawasan-kawasan di sekitar Port Swettenham ketika itu.
Masjid ini kemudiannya dibesarkan dengan bangunan papan di sayap kiri dan kanan Masjid untuk kelas-kelas pengajian Al-Quran, Mukaddam dan Fardu Ain. Pada hari Jumaat dan Hari Raya, bangunan papan ini akan digunakan untuk Solat.
Masjid lama banyak jasanya. Ia bukan saja dimanfaatkan untuk Solat, Pengajian Agama dan kegunaan masyarakat sekitar, tetapi juga sebagai tempat tinggal orang-orang Musafir. Beberapa orang Mamak pernah tinggal di Masjid ini. Saya tidak lupa, Wak Kadam, Wak Saji dan Wak Kadir juga pernah tinggal di Masjid ini. Wak Kadir tinggal agak lama di Masjid ini bersama anaknya, Samsudin Kadir.
Jasa Wak Kadir amat banyak kepada Masjid Lama ini. Beliau bukan saja seorang Siak tetapi juga seorang Bilal pada Waktu Subuh. Suara Azan Subuhnya akan kedengaran hingga ke rumah saya yang terletak kurang 50 meter dari Masjid. Selain Siak dan Bilal, Wak Kadir juga bertugas sebagai Penggali Kubur. Apabila ada kematian, Wak Kadir akan dihubungi.
Masjid lama mempunyai kolah yang besar dan agak dalam sehinggakan kami boleh berenang di dalamnya. Air kolah ini bukan saja digunakan untuk Wudhuk tetapi juga untuk kegunaan orang-orang kampung yang tidak mempunyai paip air. Ketika itu, hanya beberapa buah rumah saja yang mampu memiliki paip air. Mereka guna air kolah ini untuk mandi, cuci pakaian dan dibawa pulang ke rumah untuk kegunaan masing-masing.
Rumah Kecil TBG 907
Rumah ini adalah rumah di mana kami adik-beradik dibesarkan. TBG bermaksud Temporary Building. Bangunan sementara yang dibina atas Tanah Wakaf. Pada asalnya, rumah ini dimiliki oleh Datuk kami, Tn Haji Yunus, Imam Pertama Masjid Port Swettenham. Selepas beliau meninggal, Ayah kami pindah ke rumah ini.
Rumah papan bertiang dan bertangga kayu ini adalah kecil saja. Ia mempunyai sebuah bilik, ruang tamu, varanda dan bilik air. Tetapi, ia banyak meninggal kenangan manis kepada kami adik beradik.
Rumah kecil ini juga telah menyaksikan lima (5) Majlis Perkahwinan. Perkahwinan Kak Nona bersama Abang Nordin, Long bersama Abang Long, Abang Ngah bersama Kak Ngah, Abang Akob bersama Kak Milah dan Abang Alang bersama Kak Alang.
Majlis Khatam Al-Quran dan Majlis Khatan juga pernah diadakan di rumah kecil ini. Walaupun Kecil, ia telah memberi sumbangan Besar kepada kami adik-beradik.
Kampung Unik
Kampung Masjid adalah sebuah Kampung Melayu yang agak unik. Ia dihuni oleh pelbagai bangsa yang terdiri daripada orang Melayu, Cina, India, Benggali (Punjabi), Serani dan campuran India-Cina. Kurang 50 meter daripada rumah saya, terdapat sebuah Gereja Methodist. Di padang Gereja tersebutlah kami sering bermain bola sehingga pandai dan berjaya mewakili sekolah masing-masing.
Di seberang jalan sebelah kanan Masjid terdapat sebuah Gereja Benggali. Tokong Cina terletak di bahagian dalam kira-kira 300 meter daripada Masjid dan Kuil India pula terletak di Jalan Samy, belakang Kampung Masjid.
Oleh itu, kami budak-budak Kampung Masjid telah lebih awal terdedah kepada suasana pelbagai bangsa, budaya dan agama. Pada Hari Raya terdapat kawan-kawan Cina dan India yang datang berkunjung. Kami juga berkunjung ke rumah mereka pada perayaan mereka.
Kawasan Pekan Pelabuhan Klang lama hanya terletak kira-kira 200 meter daripada Kampung. Kami berjalan kaki saja untuk membeli barang keperluan atau untuk menonton wayang di Panggung Rex dan Cathay. Walaupun kami budak Kampung, kami turut terdedah kepada suasana Pekan dan pasar.
Malam Tujuh Likur
Saya tidak akan lupa suasana indah dan meriah pada malam-malam sebelum Raya di Kampung ini. Tiga hari sebelum kedatangan Hari Raya Aidilfitri, Kampung Masjid telah bertukar wajah dengan Pelita-Pelita Raya dipasang di setiap rumah menjadikan suasana malam di Kampung Masjid begitu berseri-seri.
Selepas solat Tarawih dan Moreh (roti canai, tosei dan putu mayam yang disedekahkan oleh Restoran Abdullah dan Halim), kami akan keluar beramai-ramai bermain sakan di sekitar Kampung dengan membawa Pelita Lilin, bermain mercun, bunga api dan meriam sehingga lewat malam. Suasana sungguh meriah ketika itu. Ada kalanya kami bermain sorok-sorok dan berperang sehingga melanggar Pelita Raya dan mengotorkan langsir raya jiran.
Saya Hampir Diculik
Ketika itu saya berusia dalam lingkungan 10 tahun. Semasa cuti sekolah, kami budak-budak kampung biasanya suka merayau-rayau di Pekan ataupun ke Panggung Wayang untuk melihat tayangan akan datang. Ketika saya sedang berjalan seorang diri di depan sebuah kedai berdepan Panggung Rex, tiba-tiba seorang lelaki Melayu telah menangkap erat tangan saya sambil menoleh ke arah kawannya di dalam kedai tersebut. Saya tidak tahu mengapa dia berbuat demikian. Saya meronta-ronta untuk cuba melepaskan tangan, tetapi tidak berjaya kerana kecil dan kurus. Tiba-tiba saya terdengar suara dari belakang. "Mengapa Yem," tegur Kupri, kawan sekampung saya. Saya menjawab, "Aku tak tahu, tiba-tiba je dia tangkap aku." Kupri pun mendekati saya dan apabila dia menghampiri saya, dia juga telah ditangkap oleh lelaki itu dengan tangan yang sama memegang saya. Kupri agak gemuk dan kuat. Dia telah merentap kuat tangannya dan terlepas. Tangan saya juga turut terlepas. Kupri ajak saya melarikan diri ikut lorong belakang. Kami pun berlari kencang untuk menyelamatkan diri tanpa diikuti oleh orang tersebut. Kupri amat biasa dengan lorong tersebut kerana lorong tersebut adalah tempat beliau sering menjaja Nasi Lemak.
Akhirnya kami berjaya tembus keluar di padang bola Gereja Methodist berdekatan kampung kami. Kami selamat! Tetapi tidak selamat daripada kemaharan ibu bapa kami. Selama beberapa hari kami tidak keluar ke pekan kerana takut diculik lagi.
Bertemu Tunku Abdul Rahman Di Masjid
Selepas Solat Maghrib saya serta beberapa orang kawan sering bermain di depan Masjid sambil menunggu waktu Isya. Pada satu malam, sedang kami bermain-main, tiba-tiba berhenti sebuah kereta besar berwarna hitam di depan Masjid. Kereta amat jarang ketika itu, lebih-lebih lagi sebuah kereta besar. Muncul seorang lelaki yang agak segak, bergaya dengan Golf Cap, dan terus menuju masuk ke perkarangan Masjid. Saya tidak kenal lelaki itu. Tiba-tiba Anuar Bidin (Nyai), rakan saya berkata. "Tunku Abdul Rahman lah." Dalam hati saya, "Oh ini rupanya Tunku Abdul Rahman."
Kami ikut beliau menaiki tangga Masjid. Ketika itu Ayah saya, Mohd Idrus (Long Derus), Pak Harun Imigresen dan beberapa orang lagi sedang bersembang untuk menunggu waktu Isya. Mereka tersentak apabila melihat kemunculan Tunku. Pak Harun berkata, "Eh Tunku." Mereka bergegas bangun dan bersalam dengan Tunku.
Tunku kemudian pergi ke kolah besar Masjid untuk mengambil Wudhuk. Ketika hendak bersolat, Tunku telah memusingkan Golf Capnya untuk kemudahan sujud.
Ketika Tunku masih dalam Masjid, kami sempat meninjau-ninjau kereta Tunku. Kami agak jakun dengan kereta besar! Kami mendapati Pemandunya adalah seorang India dan terdapt dua orang budak di tempat duduk belakang. Dimaklumkan bahawa dua orang budak itu ialah anak angkat Tunku.
Bermain Layang-Layang, Gasing, Guli, Bola, Kotak, Getah, Berenang Dan Lumba Lari
Pada musim angin, kami akan bermain layang-layang di padang Gereja Methodist. Sungguh meriah dan berwarna-warni. Ada layang-layang yang dibeli dan ada juga layang-layang yang dibuat sendiri. Datuk saya, Tok Ali, pakar membuat layang-layang kapal dan gasing piring. Layang-layang yang dihasilkannya untuk Pak Jenal memang terbaik. Naikinya menegak dan seimbang.
Wak Kamari juga pandai buat layang-layang. Pada suatu hari dia telah membawa layang-layang dengan ekor panjang. Apabila diterbangkan, ekor layang-layang tersebut seolah-olah telah memenuhi padang bola kami.
Pada musim panas ketika tanah di Kampung Masjid kering dan keras, kami bermain Gasing dan Guli. Gasing kami biasanya telah dipasang dengan paku payung untuk memaku dan membelahkan gasing lawan. Setelah puas bermain gasing, kami beralih ke guli pula. Poket kami selalunya sarat dengan guli sebagai pertaruhan. Apabila kalah, kami akan bayar pihak lawan dengan guli.
Pada petang hari kami akan bermain bola di padang Gereja. Team kami dipanggil Team Kampung Masjid. Team kami boleh dikatakan agak kuat juga kerana pernah menewaskan banyak Team termasuk Team Kampung Raja Uda, Team Teluk Gadung dan Team Rangers.
Kami juga sering bermain Kotak Rokok dari pelbagai jenis, jenama dan warna. Setiap kotak ada nilainya. Kotak paling rendah nilainya ialah Kotak Rokok Tembak (Rough Riders). Permainan tersebut bukan saja seronok tetapi juga mengajar kami mengira.
Saya gembira apabila Abang Lias Pak Mat (Adik Abang Arin) balik dari Singapura. Beliau bertugas dengan British Army Singapura. Apabila beliau pulang, dia akan membawa pelbagai jenis Kotak Rokok British yang kami tidak pernah lihat. Nilainya pasti tinggi daripada kotak-kotak yang kami ada.
Ada kalanya kami bermain getah. Sesiapa yang berjaya membaling getahnya melingkari ke atas getah lawan akan mendapat semua getah yang terdapat.
Apabila tiba musim air pasang, kami akan pergi ke Kolam Renang kami, Benteng (Sungai Belakang Sekolah Melayu Pelabuhan Kelang) untuk berenang. Bermacam-macam gaya berenang kami lakukan. Abang-abang saya juga turut berenang bersama rakan-rakan mereka. Mereka lebih pandai berenang daripada kami. Pernah berlaku detik cemas di mana kawan saya hampir lemas, tetapi telah dapat diselamatkan oleh Abang saya, Sulaiman Mohd Idrus.
Padang Gereja Methodist turut menjadi Padang Olahraga yang dikendalikan oleh Abang saya, Sulaiman Mohd Idrus. Para pemenang diberikan hadiah. Abang saya ini memang suka melayan budak-budak kampung. Ada kalanya beliau akan membuat roti sardin untuk menjamu kami semua. Selepas itu, beliau akan menyuruh kami mengangkat Bendera Kain Batik (kain batik Mak saya) dan menyanyi lagu Negeri Selangor. Pendek kata, Kampung Masjid ketika itu tidak pernah sunyi daripada pelbagai kegiatan.
Apabila Sarkis British Dan India Datang Ke Port Swettenham
Apabila Sarkis tiba di Pelabuhan Selatan, beritanya cepat tersebar ke Kampung Masjid. Kami pun menunggu dengan penuh debaran di depan Masjid untuk melihat perarakan binatang-binatang yang dibawa oleh rombongan Sarkis tersebut. Binatang paling menarik perhatian kami ialah beberapa ekor gajah yang dibawa oleh para gembalanya. Gajah-gajah ini diikat kaki mereka dengan rantai besi supaya dapat dikawal. Harimau, Singa, Monyet dan lain-lain binatang diletakkan dalam kandang-kandang yang beroda. Rombongan ini bergerak perlahan menuju ke Padang Terbang Pandamaran. Mereka mendirikan beberapa khemah besar Sarkis di padang tersebut untuk pertunjukan. Ketika itu, bayaran tiket masuk hanya berharga beberapa sen saja. Sarkis British pernah juga diadakan di kawasan lapang berdepan panggung Cathay.
Kerana ingin sangat menonton Sarkis, kami mula mengumpul duit. Apabila cukup duit, kami pergi beramai-ramai dengan berjalan kaki dan ada juga yang naik basikal. Kami benar-benar teruja dengan persembahan akrobat bergayut (trapeze), clown dan aksi binatang-binatang, terutama sekali Singa, Harimau, Gajah dan Monyet. Kami, budak-budak Kampung Masjid ketika itu benar-benar terhibur dan Happy dengan Sarkis, selain menonton Cheap Matinee di Rex dan Cathay.
Berbasikal Ke Morib
Stesen Minyak Shell merupakan salah satu tempat untuk budak-budak kampung berkumpul. Penjaga Petrol Pump Shell ketika itu bernama Ah Beng. Beliau baik dengan kami.
Pada satu pagi, ketika saya berseorangan di Stesen tersebut, muncul Mat Isa, Amran (Badang) dan Omar (adik Sahak) dengan basikal masing-masing. Mat Isa dan Amran dengan basikal racing sementara Omar dengan basikal biasa.
Mereka mengajak saya pergi ke Morib. Tanpa fikir panjang, dengan basikal biasa, duit sepuluh sen (10 sen) dalam poket seluar pendek, saya terus bersetuju. Kami pun berkayuh menuju Morib.
Sampai di Teluk Panglima Garang, Mat Isa dan Amran telah hilang daripada pandangan kami. Mereka bergerak laju dengan basikal racing mereka. Basikal saya pula buat hal apabila skru mudguard hampir tertanggal. Kebetulan pula terdapat sebuah kedai basikal Cina di situ. Saya dan Omar berhenti untuk membetulkannya.
Sesudah itu, kami pun terus berkayuh semula. Dengan kudrat yang lemah dan basikal lama, kami berjaya juga sampai di Morib pada jam hampir 2 petang. Kami bersiar-siar buat seketika dan secara kebetulan telah bersua dengan keluarga Razali Sabir Ali yang sedang makan. Mereka mengajak kami makan.
Selepas makan kami bersiar-siar semula dan pada jam lebih kurang 4.30 petang saya dan Omar mula berkayu balik kerana perjalanan kami agak jauh.
Kami selamat tiba di Kampung Masjid selepas waktu Maghrib. Ayah saya ketika itu masih lagi di Masjid. Kami berdua dimarahi kerana pergi tanpa memberitahu keluarga masing-masing.
Kapal Terbang Kecil British (Pioneer) Tabur Risalah Komunis
Kampung Masjid merupakan laluan udara Kapal Terbang kecil British (Pioneer) untuk mendarat di Padang Terbang Pandamaran. Mereka terbang rendah, hanya tinggi sedikit daripada paras pokok kelapa Kampung Masjid sehinggakan kami dapat melihat Pilotnya dengan jelas. Kami yang sedang bermain akan melambaikan tangan dan Pilot tersebut turut melambaikan tangannya..
Menurut Abang saya, Sulaiman Mohd Idrus, ada kalanya Kapal Terbang ini menaburkan dari udara risalah-risalah ancaman Komunis di kampung kami. Pada lewat tahun 40-an dan awal 50-an, Malaya ketika itu sedang diancam oleh Pengganas Komunis Bintang Tiga. Risalah-risalah tersebut merupakan kempen untuk menyedarkan orang kampung tentang ancaman ini. Budak-budak kampung berebut-rebut mengutipnya untuk dibaca. Di celah-celah kesibukan mengutip risalah tersebut, turut muncul pekerja panggung wayang yang mengedarkan risalah tayangan gambar akan datang di Rex dan Cathay.
Long Derus Home Guard Kampung
Ketika itu Malaya berada dalam zaman Darurat. Ancaman dan keganasan Komunis Bintang Tiga amat menakutkan. Untuk mengatasinya, setiap kampung telah diarahkan untuk menubuhkan Home Guard bagi mengawal kampung masing-masing. Ayah saya, Long Derus sebagai Ketua Kampung telah dilantik sebagai Home Guard untuk mengawal Kampung Masjid. Beliau telah dibekalkan selaras Senapang Patah untuk digunakan jika perlu. Saya masih ingat, senapang itu sering tersandar di dinding rumah papan kami tanpa digunakan sekali pun. Ini menunjukkan Kampung Masjid kami adalah sebuah kampung yang aman damai ketika itu.
Long Derus Berbasikal Ke Sabak Bernam
Ketika muda, pada sekitar akhir 1940-an atau awal 1950-an, Ayah saya pernah berbasikal ke Sabak Bernam untuk urusan keluarga di Sabak Bernam. Beliau berlepas dari Kampung Masjid selepas subuh dan sarapan pagi. Oleh kerana jalan lama yang masih bertanah liat, bertanah merah, berbatu kerikil dan berkulit kerang, Ayah saya akan tiba di Kuala Selangor pada sekitar petang dan berrmalam di rumah saudaranya. Selepas subuh dan sarapan pagi di Kuala Selangor, beliau meneruskan perjalanannya ke Sabak Bernam. Biasanya, beliau tiba di rumah Sabak Bernam pada sekitar lewat petang.
Beliau berada di Sabak Bernam selama beberapa hari, dan kemudiannya balik semula ke Port Swettenham dengan masa dan menggunakan jalan yang sama. Berhenti pada sekitar petang di Kuala Selangor dan pada keesokan harinya, selepas Subuh dan sarapan pagi beliau akan mula berkayuh ke Port Swettenham.
Mengikut certita Ayah saya, terdapat hutan dan beberapa buah kampung di sepanjang perjalanan menuju ke Sabak Bernam. Terdapat juga cina-cina yang menjual airbatu di beberapa tempat tertentu. Untuk menghilangkan kehausan, Ayah saya akan berhenti sekita untuk menikmati airbatu yang dijual.
Anak Kampung Masjid Pertama Ke Luar Negara
Abang Arin (Abd Latif Muhammad) adalah anak Kampung Masjid yang pertama ke luar negara. Beliau yang bertugas di Socfin telah ditugaskan ke Hong Kong pada awal tahun 50-an. Beliau berlepas dari Lapangan Terbang Lama Sungai Besi dengan menaiki kapal terbang kecil. Beliau tidak lupa membawa pulang cenderamata buatan Hong Kong untuk saya.
Anak Kampung Masjid Dan Daerah Klang Pertama Ke MCKK
Abang saya, Ahmad Mohd Idrus, telah muncul sebagai pelajar terbaik Daerah Klang pada sekitar awal 1950-an dan ditawarkan untuk melanjutkan pelajarannya di MCKK, Kuala Kangsar. Oleh kerana kemiskinan keluarga dan tidak mampu untuk menyediakan segala kelengkapan yang diperlukan oleh pihak Kolej, keluarga kami terpaksa menolaknya dan Abang saya terpaksa melanjutkan pelajarannya di ACS Klang.
Bukan saja disebabkan oleh kemiskinan, mentaliti orang kampung ketika itu juga amat negatif. Ada yang berkata, "Takut anak kau tak makan apabila di sana nanti." Ini digerunkan lagi dengan gerakan Komunis yang bermaharajalela ketika itu. Rel keretapi sering menjadi serangan bom. Untuk ke Kuala Kangsar ketika itu, jalan mudah untuk ke sana ialah dengan menaiki keretapi. Semua ini telah menjadi penghalang besar untuk Abang saya ke MCKK.
Walau bagaimanapun, rezekinya tetap ada di mana-mana. Beliau akhirnya dilantik menjadi Ketua Pengarah, Kementerian Sumber Manusia.
Kampung Masjid Melahirkan Beberapa Tokoh
Walaupun bergelar Kampung Masjid, kampung ini telah berjaya menghasilkan beberapa orang ternama. Abang saya, Ahmad Mohd Idrus telah menjadi Ketua Pengarah Kementerian Sumber Manusia, dan pernah beberapa kali mewakili Malaysia ke Persidangan Antarabangsa ILO di Geneva, Switzerland. Sulaiman Mohd Idrus telah menjadi Pegawai Penyiasat Tentera yang mendapat Latihan Intensif di Georgia, Amerika Syarikat dan kemudiannya menjadi Pengurus Keselamatan (Security Manager) Federal Flour Mill Port Klang. Datin Dr Asmah Mohd (anak Mat Gabenor), Yusof Kamari menjadi Pegawai Daerah (DO), Ahmad Kamari menjadi Juruhebah Radio Malaya, Kapten Ismail (Jam) mejadi Kapten Kapal Bunga Dahlia, MISC (Home Trade), Abang Mail Pak Uda menjadi Sub-Inspector Polis Marin, Kassim Ramjan menjadi Guru dan Pegawai Pelajaran, Yahya Mohd (Mat Gabenor) menjadi Pegawai Kerajaan dan kemudiannya menjadi Pegawai Stor (Store Officer) LPK, Mohd Taib Hj Tamin menjadi Pegawai Kastam.
Keluarga Yang Menghuni Kampung Masjid Ketika Itu
Keluarga Long Derus (Ayah saya), keluarga Hj Tamin, keluarga Pak Baba Mak Nipah, keluarga Mak Kini Kak Elis, keluarga Pak Jaamat (Ayah Aman), keluarga Pak Mat Abang Arin, keluarga Pak Mat Mak Esah (Ayah Abas), keluarga Fatma Bee (Ayah Mat dan Kak Senah), keluarga Hj Hamid (Ayah Abang Sharif), keluarga Hjh Midah (Mak Kak Unggal), keluarga Mak Memon (Mak Kak Siti), keluarga Pak Lang Yusuf, keluarga Mak Bedah Pak Aid, keluarga Nek Bee (Nek Siam), keluarga Pak Andak Kajang, keluarga Pak Long (Ayah Sahak), keluarga Pak Mail Jepun (Ayah Mat Isa Jepun), keluarga Pak Amin (Ayah Kak Ngah), keluarga Wak Kamari, keluarga Kak Yon, Kak Pon Nek Bibah, keluarga Sukimi, keluarga Pak Said (Ayah Zakaria), keluarga Sabir Ali (Ayah Razali), keluarga Pak Nan Mak Saoma, keluarga Pak Jabar, keluarga Peter (kawan Cina saya), keluarga Herald (kawan Serani saya), keluarga Ambujam (kawan campuran Cina-India), keluarga Pak Weh (Ayah Jam), keluarga Mat Gabenor (Ayah Yahya), keluarga Pak Kassim (Datuk Kak Dinah) keluarga Muthu (kawan Punjabi saya), dan ramai lagi keluarga Melayu, Cina dan India yang saya tidak berapa kenal.
Al-Faatihah Untuk Pewakaf Tanah Kampung Masjid, Penderma Pembinaan Masjid As-Samadiah, Saudara Mara, Kawan-Kawan Seangkatan Dan Mereka Yang Telah Pergi Mendahului Kami:-
Tuan Haji Ismail (Pegawai Kastam yang dikatakan telah Mewakafkan Tanah Kampung Masjid), Pak Samad Keramat, Penderma Pembinaan Masjid As-Samadiah, Mohd Taib Hj Tamin (Yep), Idris Hj Tamin, Anuar Bidin (Nyai), Mat Zain Bidin, Rahim Jaamat (Bedol), Mat Amin Jaamat, Ishak Abu Hassan (Sahak), Omar Abu Hassan, Osman Abu Hassan, Mat Nor Pak Aid, Hashim Pak Aid, Ludin Pak Aid, Zainal Ali (Pak Jenal), Kassim Ramjan (Cik Gu Kassim), Mat Isa Ismail (Isa Jepun), Kupri Hj Hamid (Li), Kamaruzaman Aziz (Jaman), Ishak Hj Hassan (Sahak Sabak), Yahya Mohd (Yaya Mat Gabenor), Mat Yassin Mohd, Mat Said Mohd, Mustafa Sood (Tapah), Razali Sabir Ali dan ramai lagi. Terbaru, Tn Hj Muhammad Hj Tamin, dua pupu saya telah kembali ke Rahmatullah pada 3 Januari 2023.
Kampung Masjid sekarang hanya meliputi tanah Wakaf Masjid, tidak seperti dulu yang merangkumi kawasan sebelah. Hanya beberapa buah rumah rendah yang masih ada di kawasan belakang Masjid.
Mercu Tanda (Landmark) berdekatan Kampung Masjid yang masih ada sehingga kini ialah Gereja Methodist Cina, Padang Bola sebelah Gereja, Petrol Station Shell dan Gereja Benggali (Sikh Temple).
... bersambung ...
... bersambung ...
Cerita di atas adalah berdasarkan pengalaman hidup saya sendiri serta pengalaman hidup yang dikongsi oleh Abang saya, Sulaiman Mohd Idrus, ketika kami sedang membesar di Kampung ini. Cerita ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa sebagai bahan Sejarah Kampung Masjid, Port Klang. In Sya Allah.
Comments
Bersyukur dengan rezeki pemberian Allah. ARWAH muhammad Tamin adalah kawan sekelas saya di SK Pelabuhan Klang. Alfatihah kepada semua bekas penghuni Kg Masjid yang telah meninggalkan kita. Syabas penulis kerana berjaya mengimbau dengan agak jelas tentang peristiwa silam di Kg Masjid Pelabuhan Klang.
Salam semua,
Datin Dr. Asmah bt Ahmad ( Muhammad)