Skip to main content

Wabak Skrin

 Selasa, 21 Syawal 1445H, 30 April 2024

Dunia kini sedang dilanda wabak skrin. Jutaan manusia di seluruh dunia telah menghabiskan sebahagian daripada masa seharian mereka dengan terpaku kepada skrin.

Sama ada tua mahu pun muda, remaja atau kanak-kanak, mereka telah menggunakan terlalu banyak masa di depan skrin Telefon Pintar, Laptop, Tablet dan Televisyen sehingga menjejaskan kesihatan mental, emosi dan fizikal mereka.

Mereka terperangkap dengan skrin ini sehingga melupakan interaksi sosial dan aktiviti luar yang begitu penting untuk kecerdasan otak dan kecergasan badan.

Yang paling ketara dilanda wabak ini ialah golongan remaja dan kanak-kanak. Di mana saja kita pergi sekarang, kita pasti bersua dengan mereka yang lebih mengutamakan Telefon Pintar berbanding ibu bapa, rakan-rakan dan saudara mara di sekeliling mereka.

Wabak ini turut menular ke ruang masjid, surau dan dalam kenderaan sehinggakan para pemandu didapati sering melayani Telefon Pintar sambil memandu. Tabiat ini bukan saja membahayakan diri sendiri, tetapi juga orang lain.

Kegilaan dan ketagihan skrin ini telah menjadi satu norma di seantero dunia.

Tanpa Telefon Pintar di tangan, para remaja akan menjadi gelisah. Kanak-kanak pula akan menjadi marah-marah dan mengamuk sehingga bergaduh dengan ibu-bapa. Inilah penyakit dan wabak Skrin yang saya maksudkan.

Sehubungan itu, adakah Telefon Pintar, Laptop, Tablet dan Televisyen tidak baik? Mereka adalah sains dan teknologi terkini, dan gadget mutakhir yang diperlukan oleh manusia untuk berkomunikasi di zaman sekarang. Mereka juga amat diperlukan untuk mendapatkan maklumat semasa, pelajaran, berita terbaru dan lain-lain.

Konklusinya ialah segala-galanya terpulang kepada cara kita memanfaatkan gadget ini. Jika disalahgunakan, ia akan memudaratkan kita dan anak-anak. Jika dimanfaatkan dengan betul dan baik, ia akan mendatangkan kebaikan dan kemajuan kepada kita. 

Untuk mengatasi masalah ini, Masa Skrin (Screen Time) untuk kita dan kanak-kanak perlulah dikawal, dihadkan dan dipantau. Masa Skrin yang berlebih-lebihan tanpa kawalan akan menjejaskan kesihatan mental, emosi dan fizikal kita. Ia juga boleh merosakkan penglihatan (mata) akibat terdedah terlalu lama kepada cahaya skrin, melalaikan pelajaran, kerja rumah (homework), bacaan buku anak-anak kerana terlalu asyik dengan games, mengganggu mood dan personaliti seseorang, menimbulkan stres, mengganggu tidur (sleep cycle) dan lain-lain.

Terdapat juga di kalangan kita yang suka tidur bersama Telefon Pintar. Setiap kali Telefon berdering, mereka akan terjaga dan melihatnya. Tabiat ini akan mengganggu tidur dan merosakkan mata kita. 

Mereka yang mengamalkan tabiat ini, sering berasa letih, lesu dan mengantuk di pagi hari. Keadaan ini akan menjejaskan kesihatan mental, emosi dan fizikal mereka. Sekaligus menurunkan prestasi seharian mereka.

Masa Skrin (screen time) mestilah dimanfaatkan dengan bijak demi kebaikan dan kemajuan kita. Jika disalahgunakan secara berlebih-lebihan, ia akan mendatangkan kemudaratan kepada kita.


* Pernah bertugas di LPK sebelum menyertai Eric White Associates Sdn Bhd (Hill And Knowlton Group USA) dan menubuhkan Al-Sadiq Consultants (Translation And Public Relations Consultants). Kini menjadi Freelancer dan Blogger.

 



Comments

Popular posts from this blog

Apa Itu Konsep Malaysian Malaysia?

Rabu, 2 Mei 2018 - Saya ingin berkongsi sedikit maklumat tentang Konsep Malaysian Malaysia setelah membaca beberapa artikel mengenainya. Ramai di kalangan orang Melayu dan Bumiputera sekarang, masih keliru dan kabur mengenai Konsep ini, lebih-lebih lagi para remaja kita yang kurang arif tentang sejarah tanah air. Sehubungan itu, sukacita saya memaklumkan sedikit info mengenainya. Sebenarnya, banyak lagi yang perlu diperkatakan tentang Konsep ini! Slogan Malaysian Malaysia mula diuar-uarkan pada awal 60-an oleh mendiang Lee Kuan Yew dan rakan-rakannya di Singapura menerusi Malaysian Solidarity Council yang dinaungi oleh beberapa buah parti politik. Tujuan mereka memperkenalkan konsep itu adalah bagi membantah Article 153 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menyediakan pelbagai Hak Keistimewaan kepada Orang Melayu dan Bumiputera. Mereka berpendapat, bukan Melayu yang telah diberikan Kerakyatan berhak memiliki hak keistimewaan yang sama. Ini bererti kedudukan orang bukan Melayu...

Sepetang Bersama Para Veteran Pelabuhan

 Khamis, 29 Mei 2025 Bukan mudah mengumpulkan para pesara dalam satu Majlis Reunion atau Get-Together. Lebih-lebih lagi kebanyakan mereka telah berusia.  Syabas dan Sekalung Tahniah kepada pihak Urusetia dan Penganjur yang telah berjaya mengumpulkan mereka dalam satu Majlis Sepetang Bersama Para Veteran Pelabuhan, di Royal Selangor Yacht Club Pelabuhan Klang, pada 28 Mei 2025. Majlis tersebut mendapat sambutan baik. Saya tiba di Dewan Kenanga pada jam 2.30 petang dan disambut oleh Tn Hj Ismailuddin, Tn Hj Mohd Noor Omar, Sdr Idris (Pak Engku) dan beberapa orang rakan lagi. Ketika itu Dewan sudah mula dibanjiri para veteran Pelabuhan. Saya terpaksa bergerak dari satu meja ke meja lain untuk bersalaman dengan mereka. Ada yang saya kenal, dan ada juga yang saya tidak cam lagi. Mungkin disebabkan oleh perubahan wajah akibat faktor usia atau saya telah berhenti awal pada tahun 1984. Saya berpeluang duduk semeja bersama Dato Jaei, Dato Basir Maskijo, Tn Hj Ghazali Hassan, Tn Hj Azah...

Cecah 77 Tahun

 17 Oktober 2025 Alhamdulillah. Syukur kepada Allah SWT (The Greatest, The Almighty and The Most Merciful)), aku telah cecah usia 77 tahun, satu angka keramat, pada 12 Oktober yang lalu.  Dari aspek Kalendar Hijrah, aku telah berusia 80 tahun kerana aku dilahirkan pada tahun 1367 Hijrah. Ini bererti aku telah tua dan sarat dengan pengalaman hidup. Ini tidak bererti aku harus berdiam diri saja kerana menimba Ilmu Pengetauan, Pelajaran dan Pengalaman Hidup adalah Sepanjang Hayat.  A Life Long Learning and Experience. Tiada Noktah bagi menimba Mereka! Tarikh Hari Lahir ini juga bermaksud, aku telah hidup di bumi Allah ini selama 77 tahun, dalam keadaan, walaupun agak lemah sedikit disebabkan oleh faktor usia, tetapi masih sihat, kuat dan aktif dari aspek fizikal dan mental. Alhamdulillah. Aku masih boleh bergerak ke sana sini (Good Mobility) tanpa sebarang bantuan serta membaca, menulis, berfikir, mengingati (Memory), melihat, mendengar dan bertindak dengan baik. Aku masih m...