Skip to main content

Harga Minyak Mentah Dunia – Sekejap Naik, Sekejap Turun!

Kenaikan harga minyak dan bahan makanan adalah satu fenomena global. Ia berlaku di seluruh dunia, sama ada di timur mahupun di barat, di selatan ataupun di utara. Amerika Syarikat, negara-negara Kesatuan Eropah, Jepun, Korea, China, India, Afrika, Amerika Selatan dan lain-lain juga turut terjejas. Tiada negara yang terlepas daripada cengkaman maut kenaikan harga minyak mentah dunia ini.

Pelbagai pendapat telah dilontarkan tentang sebab-sebab berlakunya kenaikan harga minyak mentah dunia. Beberapa pakar ekonomi menjelaskan ia disebabkan oleh kekurangan pengeluaran dan bekalan minyak mentah di beberapa buah negara pengeluar, termasuk di Timur Tengah, Amerika, Afrika dan Amerika Selatan, permintaan melebihi bekalan, kejatuhan matawang AS, masalah subprima di AS, kemelesetan di AS, ancaman perang AS terhadap Iran, peperangan berlanjutan di Iraq dan Afghanistan, manipulasi para penyangak niaga hadapan di Barat (manipulation by commodities and futures traders), cuaca buruk dan bermacam-macam lagi.

Bagi kenaikan harga bahan makanan pula, selain berpunca daripada kenaikan harga minyak, ia disebabkan oleh masalah kepanasan global (global warming). Akibat daripada kepanasan global, iklim dunia menjadi tidak ketentuan. Ada negara yang mengalami panas terik dan kemarau panjang, dan ada pula yang dilanda hujan lebat sehingga berlaku banjir besar dan tanah runtuh. Di Amerika, Eropah dan di sebahagian Benua Asia telah berlaku salji luar biasa yang begitu sejuk dan tebal. Ribut, angin kencang, gelombang besar turut berlaku di sana-sini. Semua ini telah menjejaskan industri pertanian dan mengakibatkan kemerosotan bekalan makanan. Ekoran daripada itu, harga barang makanan telah naik mendadak.

Di beberapa buah negara pengeksport makanan, tanaman-tanaman mereka langsung rosak dan musnah akibat cuaca panas terik, salji tebal dan banjir besar. Bencana ini telah memburukkan lagi senario kekurangan bekalan makanan di seluruh dunia. Situasi ini turut mencetus dan mendorong kenaikan harga bahan makanan yang melampau.

Tetapi, dalam banyak perkara mengenai kenaikan harga ini, saya lebih tertarik kepada soal manipulasi para pedagang komoditi, terutama sekali para pedagang niaga hadapan minyak mentah yang mencaturkan harga minyak di atas kertas dan di dalam bilik berhawa dingin. Mereka melakukan semua ini di pasaran New York dan London, dan kemungkinan juga di Singapura, tanpa pengaruh besar daripada para pengeluar dan pengguna minyak.

Ekoran daripada tindakan dan kelicikan manipulasi mereka ini, harga minyak mentah dunia telah melambung naik dengan menjejaskan ekonomi pelbagai negara di dunia. Barang-barang keperluan harian rakyat di seluruh dunia telah naik mendadak susulan daripada kesan domino dan rantaian yang dicetuskan oleh kenaikan harga minyak mentah dunia ini. Banyak negara miskin dan negara sedang membangun hampir tersungkur akibat ledakan mengejut ini.

Sebaliknya, para pedagang komoditi, para pengeluar dan syarikat-syarikat minyak besar dunia telah berdendang sayang dan mengaut untung besar di atas penderitaan kebanyakan negara. Dengan harga yang tinggi, keuntungan, kekayaan dan simpanan mereka melonjak berlipat kali ganda. Selain negara-negara pengeluar minyak besar seperti Arab Saudi, Kuwait, Iraq dan Iran, syarikat-syarikat minyak besar dunia yang dimonopoli oleh Amerika Syarikat turut menikmati durian runtuh ini. Syarikat-syarikat minyak Amerika Syarikat boleh dikatakan menguasai sebahagian besar daripada telaga-telaga minyak di Timur Tengah.

Yang paling untung daripada situasi minyak sekarang ialah Amerika Syarikat, walaupun negara itu dikatakan berada dalam keadaan resesi. Di samping syarikat-syarikat besar mereka yang beroperasi gagah di Timur Tengah, keuntungan besar yang diperolehi oleh para pengeluar minyak di Timur Tengah turut disimpan dan dilaburkan di Amerika Syarikat kerana harga minyak mentah dunia masih disebut harga dalam matawang AS. Lagi pun, AS masih merupakan gergasi dan kuasa terbesar di dunia. Semua ini, pada jangka panjang, akan menguntungkan Amerika Syarikat.

Baru-baru ini, beberapa telaga minyak baru telah diterokai dan dibuka di bumi Amerika Syarikat. Langkah ini telah mewujudkan beberapa orang jutawan segera dan akan menguntungkan lagi negara tersebut.

Di Malaysia, pengeluaran Petronas adalah kecil jika dibandingkan dengan pengeluaran Arab Saudi. Petronas mungkin mampu mengeluarkan di sekitar 600,000 hingga 800,000 tong minyak mentah sehari berbanding 8 hingga 9 juta tong sehari oleh negara Arab Saudi. Namun begitu, keuntungan besar Petronas seperti yang diumumkan oleh Presiden dan CEO mereka, Tan Sri Hassan Merican, tidak harus digunakan dengan sesuka hati tanpa perancangan bijak dan rapi. Sumbangan besar Petronas kepada Kerajaan Pusat dan Negeri dalam bentuk cukai, royalti dll, perlulah dibelanjakan dengan penuh hemah untuk kesenangan dan kemudahan rakyat jelata serta pembangunan negara. Subsidi haruslah diagihkan dengan penuh bijaksana dan saksama, tidak bertumpu kepada minyak kenderaan semata-mata. Bidang-bidang lain seperti makanan, kesihatan, pendidikan, kebajikan, perumahan dll perlu juga diberi perhatian rapi.

Dengan keuntungan besar yang diperolehi sekarang, Petronas harus terus melabur semula dengan meneroka telaga-telaga minyak baru di kawasan Malaysia dan di luar negara. Mereka juga harus melabur dalam bidang-bidang lain yang menguntungkan di samping sentiasa meningkatkan tabungan mereka untuk hari hujan akan datang kerana minyak adalah bahan finite. Minyak mentah di perut bumi dan perut laut kita boleh susut dan habis pada bila-bila masa. Kecuali, di Arab Saudi di mana minyak mungkin akan terus mengalir seperti Air Zam Zam mereka. Oleh itu, ‘Petronas must make hay while the sun shines’. Petronas mesti melabur semula keuntungan besar mereka untuk terus berkembang maju dan menambung keuntungan sebanyak mungkin bagi meningkatkan lagi jumlah tabungan mereka.

Seperti diperkatan oleh Tan Sri Hassan Merican, negara janganlah terlalu bergantung kepada Petronas saja. Kerajaan perlu juga mendapatkan pendapatan daripada bidang-bidang lain. Petronas harus diberi ruang dan kesempatan untuk terus berkembang maju di bawah pentadbiran sekarang.

Comments

Popular posts from this blog

Apa Itu Konsep Malaysian Malaysia?

Rabu, 2 Mei 2018 - Saya ingin berkongsi sedikit maklumat tentang Konsep Malaysian Malaysia setelah membaca beberapa artikel mengenainya. Ramai di kalangan orang Melayu dan Bumiputera sekarang, masih keliru dan kabur mengenai Konsep ini, lebih-lebih lagi para remaja kita yang kurang arif tentang sejarah tanah air. Sehubungan itu, sukacita saya memaklumkan sedikit info mengenainya. Sebenarnya, banyak lagi yang perlu diperkatakan tentang Konsep ini! Slogan Malaysian Malaysia mula diuar-uarkan pada awal 60-an oleh mendiang Lee Kuan Yew dan rakan-rakannya di Singapura menerusi Malaysian Solidarity Council yang dinaungi oleh beberapa buah parti politik. Tujuan mereka memperkenalkan konsep itu adalah bagi membantah Article 153 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menyediakan pelbagai Hak Keistimewaan kepada Orang Melayu dan Bumiputera. Mereka berpendapat, bukan Melayu yang telah diberikan Kerakyatan berhak memiliki hak keistimewaan yang sama. Ini bererti kedudukan orang bukan Melayu...

Raja Petra Kamarudin (RPK) Meninggal Dunia

 10 September  2024, Selasa Free Malaysia Today dan The Star melaporkan Blogger terkenal Raja Petra Kamarudin atau lebih dikenali sebagai RPK, 74 tahun telah meninggal dunia pada jam 11.26 malam, Isnin 9 September, waktu United Kingdom. Berita ini telah disahkan oleh adindanya, Raja Idris. Almarhun dilahirkan pada 27 September 1950 dan mengendalikan Website Malaysia Today yang memuatkan komentar dan artikel mengenai Politik Malaysia. Arwah menetap di Manchester sejak beberapa tahun yang lalu. Al- Faatihah - ends -

Sepetang Bersama Para Veteran Pelabuhan

 Khamis, 29 Mei 2025 Bukan mudah mengumpulkan para pesara dalam satu Majlis Reunion atau Get-Together. Lebih-lebih lagi kebanyakan mereka telah berusia.  Syabas dan Sekalung Tahniah kepada pihak Urusetia dan Penganjur yang telah berjaya mengumpulkan mereka dalam satu Majlis Sepetang Bersama Para Veteran Pelabuhan, di Royal Selangor Yacht Club Pelabuhan Klang, pada 28 Mei 2025. Majlis tersebut mendapat sambutan baik. Saya tiba di Dewan Kenanga pada jam 2.30 petang dan disambut oleh Tn Hj Ismailuddin, Tn Hj Mohd Noor Omar, Sdr Idris (Pak Engku) dan beberapa orang rakan lagi. Ketika itu Dewan sudah mula dibanjiri para veteran Pelabuhan. Saya terpaksa bergerak dari satu meja ke meja lain untuk bersalaman dengan mereka. Ada yang saya kenal, dan ada juga yang saya tidak cam lagi. Mungkin disebabkan oleh perubahan wajah akibat faktor usia atau saya telah berhenti awal pada tahun 1984. Saya berpeluang duduk semeja bersama Dato Jaei, Dato Basir Maskijo, Tn Hj Ghazali Hassan, Tn Hj Azah...