Skip to main content

Dr Mahathir Pilih Muhyiddin Yassin Sebagai Perdana Menteri!

Di sebuah Forum yang diadakan di London baru-baru ini, Dr Mahathir telah menyatakan bahawa sekiranya Parti Pembangkang menang dalam PRU14, TS Muhyiddin Yassin akan dipilih sebagai Perdana Menteri. Beliau juga berkata Perdana Menteri tidak akan diberi kebebasan untuk membuat keputusan, sebaliknya perlu merujuk kepada Pengerusi Parti terlebih dahulu, iaitu Dr Mahathir sendiri selaku Pengerusi Pribumi. Laporan ini telah dilaporkan dalam The Star Online.

Kenyataan tersebut jelas membuktikan bahawa Dr Mahathir masih ingin terus berkuasa dan menguasai PH seperti yang diduga oleh kebanyakan penganalisis dan komentator politik. Itu sebabnya dalam rancangannya, beliau tidak memasukkan agenda membebaskan Anwar Ibrahim sebagai prasyarat utama. Beliau mahu Anwar terus meringkuk dalam penjara agar Anwar tidak boleh menjadi Perdana Menteri. Sebenarnya, secara konsensus parti pembangkang yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAN telah pun menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri mereka sekiranya PH berjaya menawan Putrajaya. Nampaknya, perkembangan terbaru ini akan menjadikan Pembangkang semakin ribut, goyah dan berpecah.    

Persoalannya sekarang, mampukah Parti Pembangkang (PH) menang dalam PRU14 akan datang dan mampukah Pribumi menang banyak kerusi untuk muncul sebagai parti dominan dalam PH untuk melayakkan calonnya dipilih sebagai Perdana Menteri?

Pribumi baru saja berusia lebih kurang sebulan dengan bilangan ahli dan akar umbi yang masih lemah. DAP, PKR dan PAN adalah parti lama yang telah lama berjuang untuk menumbangkan pentadbiran BN. Mereka pasti tidak akan memberi laluan kepada Pribumi, malah mereka lebih layak untuk bertanding lebih banyak kerusi berbanding Pribumi dan meletakkan calon mereka sebagai Perdana Menteri.

DAP pasti tidak akan bersetuju dengan rancangan terbaru Dr Mahathir ini. DAP dan Lim Kit Siang tidak akan tunduk kepada Pribumi dan akan bertanding di semua kawasan yang mereka menangi dulu, malah mahu menambah lagi kerusi mereka di kawasan majoriti penduduk Cina. DAP yakin akan menang di kebanyakan kerusi yang mereka tandingi kerana majoriti pengundi Cina masih berkiblat kepada mereka. Sehubungan itu, mereka tidak akan memberikan kerusi mereka kepada Pribumi kerana mereka mahu terus mendominasi Parti Pembangkang seperti sekarang.

PKR dan PAN mungkin akan memberikan sedikit laluan kepada Pribumi atas dasar Pakatan Pembangkang. Tetapi, mereka tidak akan memberikan banyak kerusi kepada Pribumi kerana PKR dan PAN juga mahu mengekalkan dominasi mereka dalam Parti Pembangkang. Oleh itu, Peribumi akan hanya mendapat sedikit kerusi yang tidak akan melayakkan mereka untuk menjadi parti dominan dan seterusnya meletakkan calonnya sebagai Perdana Menteri. Itu pun jika mereka menang dalam PRU14 akan datang!

Saya berpendapat, sekiranya PAS dan UMNO/BN bekerjasama dalam PRU14 akan datang, mereka akan mampu menewaskan PH. DAP akan menang di kebanyakan kerusi yang mereka tandingi sementara PKR, PAN dan Pribumi akan kehilangan banyak kerusi kepada PAS dan UMNO/BN.

Pada PRU13, PKR menang banyak kerusi disebabkan oleh undian para ahli dan penyokong setia PAS. Pada kali ini, tanpa kerjasama PAS, PKR akan kehilangan banyak undian para ahli dan penyokong PAS dan hanya bergantung talian hayat kepada para penyokong DAP. Pada hakikatnya, PKR tidak mempunyai ramai penyokong sendiri. Ini satu realiti yang mesti diterima oleh PKR.    

Itu sebabnya Azmin Ali tidak mahu mengadakan Pilihan Raya Kilat (Snap Election) seperti yang disyorkan oleh DAP. Beliau tahu PKR akan hilang beberapa kerusi kepada PAS dan UMNO/BN serta hilang kuasa untuk mentadbir Kerajaan Negeri Selangor.

PAN adalah sebuah parti serpihan PAS yang masih tidak mempunyai akar umbi yang mantap. Mereka masih bergantung sokongan daripada para ahli dan penyokong PAS dan DAP. Pada PRU14 ini, PAS dijangka akan menewaskan mereka.

Daripada analisis mudah di atas, DAP akan tetap mendominasi Parti Pembangkang tetapi PH akan tewas kepada kerjasama PAS dan UMNO/BN.

Saya lebih suka jika PAS dan UMNO/BN dapat bekerjasama dalam PRU14. Kerjasama mereka akan membolehkan mereka menguasai lebih banyak kerusi Parlimen dan merampas semula Negeri Selangor. Kerjasama mereka juga akan memastikan kuasa politik dan pentadbiran Kerajaan Pusat terus berada di tangan Melayu Islam. Kerjasama ini akan menjadi Checks and Balances antara PAS dan UMNO/BN. Ia akan menjadikan PAS lebih progresif dan UMNO/BN lebih berintegriti, tidak mengamalkan rasuah, kronisme, nepotisme, parokialisme dll. Ekoran daripada kerjasama tersebut, saya yakin Pentadbiran dan politik Malaysia akan menjadi lebih aman, stabil, dinamik dan Islamik.

Pilihan TS Muhyiddin sebagai PM juga dilihat sebagai amat tidak kena pada masanya kerana baru-baru ini beliau telah terpalit dengan skandal isteri orang. Rekod beliau telah tercemar dan tercalar. Integriti dan kewibawaan beliau telah mula dipersoalkan. Di samping itu, dikatakan ramai pemimpin Pribumi sekarang tidak senang dengan sikap beliau yang kelihatan suka membuat keputusan sendiri tanpa merujuk para pemimpin lain.

Semua faktor ini akan memburukkan lagi situasi parti pembangkang yang masih diibaratkan sebagai Just A Marriage of Convenience to defeat BN. They sleep on the same pillow but with different dreams. Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim masih lagi tidak mempercayai Dr Mahathir. Begitu juga dengan Dr Mahathir.


* Pandangan yang diberikan adalah pendapat peribadi saya tanpa prejudis dan tanpa dipengaruhi oleh sesiapa atau mana-mana pihak.

* The opinion given is purely mine without prejudice, without malice and without any external influence.

Comments

Popular posts from this blog

Apa Itu Konsep Malaysian Malaysia?

Rabu, 2 Mei 2018 - Saya ingin berkongsi sedikit maklumat tentang Konsep Malaysian Malaysia setelah membaca beberapa artikel mengenainya. Ramai di kalangan orang Melayu dan Bumiputera sekarang, masih keliru dan kabur mengenai Konsep ini, lebih-lebih lagi para remaja kita yang kurang arif tentang sejarah tanah air. Sehubungan itu, sukacita saya memaklumkan sedikit info mengenainya. Sebenarnya, banyak lagi yang perlu diperkatakan tentang Konsep ini! Slogan Malaysian Malaysia mula diuar-uarkan pada awal 60-an oleh mendiang Lee Kuan Yew dan rakan-rakannya di Singapura menerusi Malaysian Solidarity Council yang dinaungi oleh beberapa buah parti politik. Tujuan mereka memperkenalkan konsep itu adalah bagi membantah Article 153 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menyediakan pelbagai Hak Keistimewaan kepada Orang Melayu dan Bumiputera. Mereka berpendapat, bukan Melayu yang telah diberikan Kerakyatan berhak memiliki hak keistimewaan yang sama. Ini bererti kedudukan orang bukan Melayu...

Cecah 77 Tahun

 17 Oktober 2025 Alhamdulillah. Syukur kepada Allah SWT (The Greatest, The Almighty and The Most Merciful)), aku telah cecah usia 77 tahun, satu angka keramat, pada 12 Oktober yang lalu.  Dari aspek Kalendar Hijrah, aku telah berusia 80 tahun kerana aku dilahirkan pada tahun 1367 Hijrah. Ini bererti aku telah tua dan sarat dengan pengalaman hidup. Ini tidak bererti aku harus berdiam diri saja kerana menimba Ilmu Pengetauan, Pelajaran dan Pengalaman Hidup adalah Sepanjang Hayat.  A Life Long Learning and Experience. Tiada Noktah bagi menimba Mereka! Tarikh Hari Lahir ini juga bermaksud, aku telah hidup di bumi Allah ini selama 77 tahun, dalam keadaan, walaupun agak lemah sedikit disebabkan oleh faktor usia, tetapi masih sihat, kuat dan aktif dari aspek fizikal dan mental. Alhamdulillah. Aku masih boleh bergerak ke sana sini (Good Mobility) tanpa sebarang bantuan serta membaca, menulis, berfikir, mengingati (Memory), melihat, mendengar dan bertindak dengan baik. Aku masih m...

Cerita Dongeng Orang Kampung, Pak Kadok, Lebai Malang Dan Si Luncai

Saya ingin berkongsi cerita dongeng Melayu yang pernah diceritakan oleh nenek-moyang saya dulu. Cerita dongeng orang-orang tua dulu, ada kalanya elok dikisahkan kembali untuk tatapan dan renungan kita bersama. Ia membawa banyak unsur peringatan, nasihat, teguran dan sindiran mendalam untuk kesejahteraan dan keselamatan cucu-cicit mereka di hari muka. Salah satu cerita dongeng yang suka diceritakan oleh orang-orang tua dahulu kala ialah kisah seorang anak kampung. Begini ceritanya. Pada suatu masa dahulu, terdapat seorang anak kampung yang tidak dapat tidur lena di dalam kelambunya kerana diganggu beberapa ekor nyamuk. Kerana terlalu marahkan nyamuk-nyamuk tersebut, Kelambunya Dibakar. Akibatnya, dia langsung tak dapat tidur nyenyak pada malam itu kerana diserang lebih banyak nyamuk. Pada keesokan paginya, dengan keadaan lesu, kusut-masai dan mengantuk, dia terus menuju ke reban untuk mengambil ayam sabungnya. Dengan ayam sabung di tangan bak Pak Kadok, dia terus mengorak langkah ...