Pertemuan di antara PAS-UMNO, dua buah pertubuhan Melayu Islam terbesar di Malaysia, bagi membincangkan isu perpaduan Melayu/Islam amatlah dialu-alukan dan memang tepat pada masanya. Walaupun PAS telah memutuskan bahawa ia tidak akan bekerjasama dengan UMNO atau BN bagi menubuhkan Kerajaan, tetapi kesudian PAS untuk terus bermuqabalah dan bermuzakarah dengan UMNO pada masa-masa akan datang demi perpaduan Melayu dan umat Islam adalah satu petanda baik. Selepas 8 Mac 2008, perpaduan di kalangan Melayu/Islam di Malaysia kelihatan semakin longgar, goyah dan kucar-kacir. Keretakan ini telah merugikan mereka tetapi menguntungkan anasir-anasir tertentu dari dalam dan luar negara yang sentiasa menghidu peluang dan ketika untuk mengucar-kacirkan negara ini dan seterusnya mengambil alih pucuk pimpinan Negara. Alhamdulillah, para pemimpin atasan kedua-dua buah pertubuhan ini telah cepat sedar akan pentingnya Silaturrahim di kalangan orang Melayu dan umat Islam, dan niat serong anasir-anasir ini y...