Skip to main content

Saya Dan Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan

Setiap kali Hari Kemerdekaan menjelma, peristiwa ini akan terbayang kembali dalam ingatan saya.

Bertemu dengan seorang Pemimpin Negara adalah satu Sejarah, lebih-lebih lagi jika anda masih budak. Peristiwa ini berlaku ketika saya berusia 11 tahun dan sedang bermain-main dengan kawan-kawan Kampung Masjid di halaman Masjid Port Swettenham (kini dipanggil Masjid Samadiah, Port Klang).

Seperti anak-anak kampung yang lain, selepas menunaikan solat Maghrib, kami akan bermain di halaman masjid untuk menunggu waktu Isya'. Ketika itu, ayah saya, Mohd Idrus (Allahyarham) dan rakan-rakannya, termasuk Pak Harun (Allahyarham), seorang Pegawai Imigresen, sedang berbual-bual dalam Masjid.

Tiba-tiba, sebuah kereta berwarna hitam berhenti di depan laluan masuk ke halaman masjid. Ketika itu, tidak banyak kereta kelihatan di jalan raya, lebih-lebih lagi sebuah kereta besar. Jalan raya agak gelap kerana lampu jalan hanya dipasang di tempat-tempat tertentu.

Sejurus kemudian, seorang lelaki berbadan tegap, tinggi, segak dan berkep (memakai Golf Cap) keluar dari kereta berkenaan dan terus berjalan masuk ke kawasan masjid. Kawan saya, Anuar Bidin (Allahyarham) yang lebih cerdik dan lebih berusia daripada saya berkata, " Eh, Tunkulah". Dalam hati, saya berkata, "Oh, ini Tunku Abdul Rahman rupanya."

Beliau tersenyum melihat gelagat kami dan terus berjalan menuju ke Masjid. Kami ikut beliau dari belakang. Sebaik saja beliau menaiki tangga batu masjid, ayah saya dan rakan-rakannya terkejut melihat kehadiran Tunku. Pak Harun berkata, "Tunku." Mereka bangun dan terus bersalam dengan Tunku. Tunku kemudiannya pergi ke kolah masjid untuk mengangkat wuduk. Ketika itu masjid kami tidak mempunyai paip air dan berwuduk di kolah masjid saja.

Selepas berwuduk beliau terus masuk ke dewan masjid untuk bersolat Maghrib. Sebagai budak-budak kampung yang pertama kali melihat seorang Pemimpn Negara, kami ikut ke mana saja beliau pergi. Sebelum beliau bersolat, saya lihat beliau telah memusingkan Golf Cap ke belakang dan terus bersolat.

Selepas itu, kami pergi ke kereta beliau untuk melihat-lihat apa yang ada di dalamnya. Kami melihat dua orang kanak-kanak dalam kereta tersebut, seorang lelaki dan seorang perempuan. Rupa-rupanya, mereka adalah anak angkat Tunku dan pemandunya seorang India. Beliau berkereta ke Port Swettenham tanpa sebarang escort. Tiada seorang polis pun yang mengiringi kereta beliau. Itulah hebatnya Tunku!        

Peristiwa ini terpahat erat dalam fikiran saya hingga ke hari ini. Ia akan mengimbau kembali apabila menjelmanya Hari Kemerdekaan. Budak kampung berpeluang bersua muka dengan seorang Pemimpin Negara bernama Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan, adalah satu Sejarah penting bagi diri saya.

Comments

Popular posts from this blog

Apa Itu Konsep Malaysian Malaysia?

Rabu, 2 Mei 2018 - Saya ingin berkongsi sedikit maklumat tentang Konsep Malaysian Malaysia setelah membaca beberapa artikel mengenainya. Ramai di kalangan orang Melayu dan Bumiputera sekarang, masih keliru dan kabur mengenai Konsep ini, lebih-lebih lagi para remaja kita yang kurang arif tentang sejarah tanah air. Sehubungan itu, sukacita saya memaklumkan sedikit info mengenainya. Sebenarnya, banyak lagi yang perlu diperkatakan tentang Konsep ini! Slogan Malaysian Malaysia mula diuar-uarkan pada awal 60-an oleh mendiang Lee Kuan Yew dan rakan-rakannya di Singapura menerusi Malaysian Solidarity Council yang dinaungi oleh beberapa buah parti politik. Tujuan mereka memperkenalkan konsep itu adalah bagi membantah Article 153 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menyediakan pelbagai Hak Keistimewaan kepada Orang Melayu dan Bumiputera. Mereka berpendapat, bukan Melayu yang telah diberikan Kerakyatan berhak memiliki hak keistimewaan yang sama. Ini bererti kedudukan orang bukan Melayu...

Cecah 77 Tahun

 17 Oktober 2025 Alhamdulillah. Syukur kepada Allah SWT (The Greatest, The Almighty and The Most Merciful)), aku telah cecah usia 77 tahun, satu angka keramat, pada 12 Oktober yang lalu.  Dari aspek Kalendar Hijrah, aku telah berusia 80 tahun kerana aku dilahirkan pada tahun 1367 Hijrah. Ini bererti aku telah tua dan sarat dengan pengalaman hidup. Ini tidak bererti aku harus berdiam diri saja kerana menimba Ilmu Pengetauan, Pelajaran dan Pengalaman Hidup adalah Sepanjang Hayat.  A Life Long Learning and Experience. Tiada Noktah bagi menimba Mereka! Tarikh Hari Lahir ini juga bermaksud, aku telah hidup di bumi Allah ini selama 77 tahun, dalam keadaan, walaupun agak lemah sedikit disebabkan oleh faktor usia, tetapi masih sihat, kuat dan aktif dari aspek fizikal dan mental. Alhamdulillah. Aku masih boleh bergerak ke sana sini (Good Mobility) tanpa sebarang bantuan serta membaca, menulis, berfikir, mengingati (Memory), melihat, mendengar dan bertindak dengan baik. Aku masih m...

Saya Akan Terus Menulis

Okt 27, 2025 Selagi hayat dikandung bandan, saya akan terus aktif menulis di dalam Blog ini. Bukan apa, tetapi untuk memastikan otak saya terus tajam dan berfungsi dengan baik. Apabila menulis, saya terpaksa berfikir dan merujuk bahan-bahan lain untuk menyokong penulisan saya. Usaha-usaha ini akan merangsang dan menggerakkan otak saya, sekaligus menajamkan otak dan menjadikannya sihat. Otak kita adalah seperti otot. Otot perlu disenamkan selalu untuk kekal kuat dan sihat. Untuk kekuatan dan kesihatan otak, ia perlu disenamkan selalu dengan sering membaca, menulis dan berfikir. Kesihatan Fizikal dan Mental amat berkait rapat. Jika badan sihat, mental juga akan turut sihat. Jika kita sering bersenam dan bergerak, darah dan oksigen akan mengalir ke seluruh badan, termasuk ke jantung dan otak. Jantung akan bertambah kuat dan sihat, sementara sel otak (neurons) akan bertambah kerana mendapat bekalan darah dan oksigen yang mencukupi. Hasilnya, badan menjadi Cergas dan otak kita menjadi Cerda...