Skip to main content

Mampukah Trump Laksanakan Segala Yang Diperkatakan Semasa Berkempen?

Isnin, 14 Safar 1438H, 14 November 2016M - Donald Trump, 70 tahun, adalah seorang Billionaire Hartanah yang berjaya. Beliau pintar, licik dan agresif bagi mendapat dan menjayakan sesuatu perniagaan. Cara 'Marketing dan Networking' beliau begitu komprehensif. Beliau juga tidak ragu-ragu untuk mengambil atau memecat kakitangannya mengikut keadaan dan keperluan perniagaannya. Beliau mampu melakukan semua ini kerana Syarikat Trump adalah milik penuhnya dan beliau adalah Bosnya. Tidak seorang pun yang boleh menghalangnya.

Semasa berkempen untuk merebut jawatan Presiden Amerika, beliau telah menggunakan segala taktik, kepintaran dan strategi perniagaannya dengan membuat pelbagai janji dan rancangan demi kebaikan dan kemaslahatan Amerika Syarikat. Ramai rakyat Amerika telah terbeli dan terpukau dengan pelbagai janji dan rancangan ini, termasuk hendak membina tembuk kukuh di sepanjang sempadan Amerika dan Mexico bagi menyekat kemasukan para pendatang haram dari Mexico dan negara-negara Latin yang lain, menghantar pulang jutaan pendatang haram ke negara-negara asal mereka, melarang kemasukan orang-orang Islam ke Amerika dll.

Persoalannya sekarang, mampukah beliau melaksanakan semua janji dan rancangan ini sebaik saja beliau menduduki kerusi Presiden Amerika pada 20 Januari 2017? Jawatan CEO sesebuah syarikat adalah jauh berbeza dengan jawatan Presiden Amerika. Janji-janji dan retorik semasa berkempen adalah berbeza dengan pelaksanaan sebenar semasa menjadi Presiden.    
          
Tanggungjawab Presiden Amerika Syarikat amat besar dan luas. Beliau bertanggungjawab terhadap seluruh Amerika Syarikat, rakyat Amerika, ekonomi Amerika, ketenteraan Amerika, keselamatan Amerika, perhubungan Amerika dengan dunia antarabangsa, perdagangan Amerika dengan rakan-rakan perdagangan seluruh dunia dll. Beliau juga akan dikelilingi dengan pelbagai penasihat yang akan menasihati beliau tentang pelbagai perkara dan dasar. Beliau juga tertakluk dan terikat kepada Perlembagaan, Undang-Undang dan Kehakiman Amerika, Ahli-Ahli Kongres Amerika yang mewakili Senat (Senate) dan 'House of Representatives'. Ini bermakna, beliau tidak boleh membuat keputusan secara bersendirian atau ikut selera beliau saja. Beliau akan terbatas dan terhalang dengan pelbagai nasihat, sekatan dan kritikan, checks and balances yang membendung Pentadbiran Kerajaan Amerika Syarikat.

Sehubungan itu, saya yakin beliau tidak akan mampu melaksanakan segala janji dan rancangan yang beliau taburkan semasa berkempen dulu. Sebenarnya, janji-janji yang beliau lontarkan dulu hanyalah madu untuk halwa telinga rakyat Amerika bagi meraih undi dan kemenangan. Akhirnya, taktik dan strategi licik beliau itu telah mengena dan berjaya menewaskan calon popular yang lebih berpengalaman, Hillary Clinton.

Ini bermakna, hanya sebahagian tembuk sempadan Amerika - Mexico akan dibina, hanya segelintir pendatang haram akan dihantar pulang, hanya orang-orang Islam yang tertentu saja yang tidak dibenarkan masuk ke Amerika dll. Hubungan Amerika dengan dunia Islam, terutama sekali dunia Arab, boleh dikatakan baik. Terdapat banyak pelaburan negara-negara Arab di Amerika. Sekiranya pelaburan Arab, China dan negara-negara lain ditarik keluar daripada Amerika, mereka boleh jatuh muflis. Oleh itu, Amerika tidak boleh hidup bersendirian tanpa kerjasama dunia luar. Mereka tidak boleh lari daripada realiti dunia hari ini.

Saya yakin, Trump akan dan terpaksa berubah sebaik saja beliau menduduki kerusi Presiden Amerika Syarikat. Sebaik saja beliau bergelar Presiden Trump, beliau tidak boleh lagi beraksi seperti CEO Syarikat Trump atau Trump The Property Billionaire yang bertahta di Trump Tower. Beliau adalah Presiden Amerika Syarikat yang bertanggungjawab terhadap negaranya dan dunia antarabangsa.

He must and has to change his colour, personality and outlook once he sits on the President's Chair. That's the price he has to pay for being the 45th President of USA.      


* Pandangan yang diberikan adalah pendapat peribadi saya.
* The opinion given is purely my personal view.



Comments

Popular posts from this blog

Apa Itu Konsep Malaysian Malaysia?

Rabu, 2 Mei 2018 - Saya ingin berkongsi sedikit maklumat tentang Konsep Malaysian Malaysia setelah membaca beberapa artikel mengenainya. Ramai di kalangan orang Melayu dan Bumiputera sekarang, masih keliru dan kabur mengenai Konsep ini, lebih-lebih lagi para remaja kita yang kurang arif tentang sejarah tanah air. Sehubungan itu, sukacita saya memaklumkan sedikit info mengenainya. Sebenarnya, banyak lagi yang perlu diperkatakan tentang Konsep ini! Slogan Malaysian Malaysia mula diuar-uarkan pada awal 60-an oleh mendiang Lee Kuan Yew dan rakan-rakannya di Singapura menerusi Malaysian Solidarity Council yang dinaungi oleh beberapa buah parti politik. Tujuan mereka memperkenalkan konsep itu adalah bagi membantah Article 153 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menyediakan pelbagai Hak Keistimewaan kepada Orang Melayu dan Bumiputera. Mereka berpendapat, bukan Melayu yang telah diberikan Kerakyatan berhak memiliki hak keistimewaan yang sama. Ini bererti kedudukan orang bukan Melayu...

Cecah 77 Tahun

 17 Oktober 2025 Alhamdulillah. Syukur kepada Allah SWT (The Greatest, The Almighty and The Most Merciful)), aku telah cecah usia 77 tahun, satu angka keramat, pada 12 Oktober yang lalu.  Dari aspek Kalendar Hijrah, aku telah berusia 80 tahun kerana aku dilahirkan pada tahun 1367 Hijrah. Ini bererti aku telah tua dan sarat dengan pengalaman hidup. Ini tidak bererti aku harus berdiam diri saja kerana menimba Ilmu Pengetauan, Pelajaran dan Pengalaman Hidup adalah Sepanjang Hayat.  A Life Long Learning and Experience. Tiada Noktah bagi menimba Mereka! Tarikh Hari Lahir ini juga bermaksud, aku telah hidup di bumi Allah ini selama 77 tahun, dalam keadaan, walaupun agak lemah sedikit disebabkan oleh faktor usia, tetapi masih sihat, kuat dan aktif dari aspek fizikal dan mental. Alhamdulillah. Aku masih boleh bergerak ke sana sini (Good Mobility) tanpa sebarang bantuan serta membaca, menulis, berfikir, mengingati (Memory), melihat, mendengar dan bertindak dengan baik. Aku masih m...

Cerita Dongeng Orang Kampung, Pak Kadok, Lebai Malang Dan Si Luncai

Saya ingin berkongsi cerita dongeng Melayu yang pernah diceritakan oleh nenek-moyang saya dulu. Cerita dongeng orang-orang tua dulu, ada kalanya elok dikisahkan kembali untuk tatapan dan renungan kita bersama. Ia membawa banyak unsur peringatan, nasihat, teguran dan sindiran mendalam untuk kesejahteraan dan keselamatan cucu-cicit mereka di hari muka. Salah satu cerita dongeng yang suka diceritakan oleh orang-orang tua dahulu kala ialah kisah seorang anak kampung. Begini ceritanya. Pada suatu masa dahulu, terdapat seorang anak kampung yang tidak dapat tidur lena di dalam kelambunya kerana diganggu beberapa ekor nyamuk. Kerana terlalu marahkan nyamuk-nyamuk tersebut, Kelambunya Dibakar. Akibatnya, dia langsung tak dapat tidur nyenyak pada malam itu kerana diserang lebih banyak nyamuk. Pada keesokan paginya, dengan keadaan lesu, kusut-masai dan mengantuk, dia terus menuju ke reban untuk mengambil ayam sabungnya. Dengan ayam sabung di tangan bak Pak Kadok, dia terus mengorak langkah ...