Skip to main content

Para Belia Malaysia Perlu Ambil Alih Tempat Pekerja Asing

Selasa, 16 Februari 2016  -  Seperti yang saya nyatakan dalam Blog Posting saya bertajuk "1.5 Juta Pekerja Bangladesh...", Kerajaan perlu merangka satu dasar baru yang menggalakkan, melatih dan memaksa para belia kita bekerja di ladang, kilang, tapak pembinaan, pasaraya, restoran, dll bagi menggantikan para pekerja asing. Sebaik saja mereka dilatih dan mengisi pekerjaan-pekerjaan tersebut, para pekerja asing perlulah dihantar pulang.

Proses ini akan mengambil sedikit masa. Namun begitu, usaha ke arah itu perlu digerakkan secepat mungkin. Kementerian Sumber Manusia harus dipertanggungjawabkan terhadap perkara ini. Sebelum para belia kita dilatih dan mengambil alih pekerjaan tersebut, para pekerja asing harus dibenarkan bekerja buat sementara waktu bagi memastikan pembangunan ekonomi kita tidak terjejas dan terus berjalan lancar dan berkembang maju.

Ketika ini ramai belia kita didapati menganggur, tidak melanjutkan pelajaran dan tercicir (dropouts). Mereka inilah yang perlu digalakkan, dilatih dan dipaksa bekerja dalam bidang-bidang tersebut yang dianggap kotor, sukar dan bahaya (3D), tetapi amat penting bagi pembangunan negara. Mereka perlu dipaksa bekerja, tidak boleh dimanjakan dan diberikan pilihan. Jika mereka enggan mengikut arahan, mereka harus dikenakan tindakan undang-undang. Ini saja caranya untuk mendorong dan memaksa mereka bekerja. Apabila mereka bekerja dan berpendapatan, banyak masalah sosial, keselamatan dan ekonomi dapat diatasi dan dihindari. Mereka tidak lagi menyusahkan ibu bapa dan masyarakat, tidak mendedahkan diri mereka kepada gejala sosial, merempit, menagih dadah, mencuri dll. Kadar pengangguran negara juga dapat dikecilkan.

Mereka perlu diberikan gaji yang menarik setimpal dengan pekerjaan mereka, tidak seperti yang dibayar kepada para pekerja asing. Mereka mesti menikmati kemudahan pencaruman KWSP, Socso, Insurans, Alaun Tambahan, dll. Jika diberikan gaji yang lumayan, saya yakin mereka tidak akan lari dan sanggup bekerja untuk menyara kehidupan mereka. Cuba lihat para pekerja kita yang kini bekerja di Singapura. Dianggarkan ratusan ribu pekerja Malaysia sanggup bekerja kasar di Singapura kerana menikmati gaji yang baik. Jika mereka boleh berbuat demikian di Singapura, saya yakin para belia kita juga sanggup bekerja kasar di Malaysia jika dibayar gaji yang menarik dan berpatutan.

Saya berpendapat, ramai majikan di Malaysia masih mampu membayar gaji yang lumayan. Ketika ini mereka mengaut untung besar dengan membayar gaji kecil kepada para pekerja asing. Sekiranya mereka menawarkan gaji yang lumayan kepada para pekerja Malaysia, mereka masih mampu menikmati keuntungan. Bezanya, mereka mengaut untung lebih besar jika menggunakan tenaga para pekerja asing yang tidak diberikan pelbagai kemudahan sampingan.

Ketika ini kira-kira 200,000 siswazah kolej atau universiti sedang menggangur. Pada setiap tahun angka ini akan meningkat. Keadaan ini diburukkan lagi dengan pemberhentian kira-kira 26,000 pekerja pada tahun lalu akibat kelembapan ekonomi negara dan dunia. Ramai lagi dijangka akan diberhentikan pada tahun ini. Jika para belia yang menganggur sekarang terus diabaikan, maka bilangan masalah pengganguran akan bertambah besar dan membebankan negara.

Kita perlu melatih para belia kita ini mulai sekarang dan hanya menggunakan para pekerja asing dalam bidang-bidang yang diperlukan saja. Kita juga mesti memperkenalkan satu rang undang-undang di mana para majikan mesti mengutamakan pengambilan para pekerja tempatan terlebih dahulu. Jika tidak diperolehi, barulah menawarkan pekerjaan tersebut kepada para pekerja asing.

Sekarang terdapat lebih 2 juta pekerja asing sedang bekerja di Malaysia. Ini tidak termasuk yang masuk secara haram dan masih merayau ke sana-sini mencari pekerjaan dan ada juga yang menagih sedekah.

Kenyataan TPM, DS Ahmad Zahid Hamidi serta respons yang diberikan oleh para belia Selangor di satu Majlis Pelancaran Belia baru-baru ini amat memberangsangkan. Jika semangat yang ditunjukkan oleh para belia ini benar-benar tulen dan mencerminkan niat sebenar para belia Malaysia, maka belia-belia kita telahpun bersedia dan sanggup digalakkan, dilatih dan dipaksa bekerja di bidang-bidang yang kini dikuasai oleh para pekerja asing.

Kerajaan Malaysia perlu merangka satu dasar dan sistem baru serta menggubal undang-undang baru secepat mungkin bagi menangani masalah pekerjaan ini. Kerajaan tidak boleh lagi berlembut atau bertolak ansur dengan para belia kita, para pekerja dan pendatang asing.

Masalah kebanjiran pekerja dan pendatang asing ini mesti diselesaikan segera sebelum ia berkudis dan membarah serta menimbulkan pelbagai masalah sosial, ekonomi, keselamatan, politik, hubungan negara dan pentadbiran negara Malaysia.

Charity Must Start At Home. Bantuan, Kebajikan, Pertolongan Dan Pekerjaan Mesti Mengutamakan Anak Tempatan Terlebih Dahulu, Kemudian Barulah Kepada Orang Lain.



* Pandangan yang diberikan adalah pendapat peribadi saya tanpa dipengaruhi oleh sesiapa atau mana-mana pihak.

* The opinion given is purely mine without any external influence, without prejudice or ulterior motives.          


Comments

Popular posts from this blog

Apa Itu Konsep Malaysian Malaysia?

Rabu, 2 Mei 2018 - Saya ingin berkongsi sedikit maklumat tentang Konsep Malaysian Malaysia setelah membaca beberapa artikel mengenainya. Ramai di kalangan orang Melayu dan Bumiputera sekarang, masih keliru dan kabur mengenai Konsep ini, lebih-lebih lagi para remaja kita yang kurang arif tentang sejarah tanah air. Sehubungan itu, sukacita saya memaklumkan sedikit info mengenainya. Sebenarnya, banyak lagi yang perlu diperkatakan tentang Konsep ini! Slogan Malaysian Malaysia mula diuar-uarkan pada awal 60-an oleh mendiang Lee Kuan Yew dan rakan-rakannya di Singapura menerusi Malaysian Solidarity Council yang dinaungi oleh beberapa buah parti politik. Tujuan mereka memperkenalkan konsep itu adalah bagi membantah Article 153 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menyediakan pelbagai Hak Keistimewaan kepada Orang Melayu dan Bumiputera. Mereka berpendapat, bukan Melayu yang telah diberikan Kerakyatan berhak memiliki hak keistimewaan yang sama. Ini bererti kedudukan orang bukan Melayu...

Raja Petra Kamarudin (RPK) Meninggal Dunia

 10 September  2024, Selasa Free Malaysia Today dan The Star melaporkan Blogger terkenal Raja Petra Kamarudin atau lebih dikenali sebagai RPK, 74 tahun telah meninggal dunia pada jam 11.26 malam, Isnin 9 September, waktu United Kingdom. Berita ini telah disahkan oleh adindanya, Raja Idris. Almarhun dilahirkan pada 27 September 1950 dan mengendalikan Website Malaysia Today yang memuatkan komentar dan artikel mengenai Politik Malaysia. Arwah menetap di Manchester sejak beberapa tahun yang lalu. Al- Faatihah - ends -

Sepetang Bersama Para Veteran Pelabuhan

 Khamis, 29 Mei 2025 Bukan mudah mengumpulkan para pesara dalam satu Majlis Reunion atau Get-Together. Lebih-lebih lagi kebanyakan mereka telah berusia.  Syabas dan Sekalung Tahniah kepada pihak Urusetia dan Penganjur yang telah berjaya mengumpulkan mereka dalam satu Majlis Sepetang Bersama Para Veteran Pelabuhan, di Royal Selangor Yacht Club Pelabuhan Klang, pada 28 Mei 2025. Majlis tersebut mendapat sambutan baik. Saya tiba di Dewan Kenanga pada jam 2.30 petang dan disambut oleh Tn Hj Ismailuddin, Tn Hj Mohd Noor Omar, Sdr Idris (Pak Engku) dan beberapa orang rakan lagi. Ketika itu Dewan sudah mula dibanjiri para veteran Pelabuhan. Saya terpaksa bergerak dari satu meja ke meja lain untuk bersalaman dengan mereka. Ada yang saya kenal, dan ada juga yang saya tidak cam lagi. Mungkin disebabkan oleh perubahan wajah akibat faktor usia atau saya telah berhenti awal pada tahun 1984. Saya berpeluang duduk semeja bersama Dato Jaei, Dato Basir Maskijo, Tn Hj Ghazali Hassan, Tn Hj Azah...