Skip to main content

Ramalan Dan Sandaran Saya Meleset

Ahad, 21 Ogos 2016 - Malaysia masih lagi kempunan Emas. Nasib malang masih lagi menimpa dan menghantui mereka. Kita telah berjaya memasuki tiga Final Badminton, namun satupun tidak menghasilkan Pingat Emas.

Ramalan dan sandaran saya bahawa DLCW akan membawa pulang Pingat Emas Olimpik yang pertama ke Malaysia jelas meleset. Beliau tewas straight set, 21-18 dan 21-18 kepada Chen Long dalam perlawanan akhir badminton Single Lelaki.

Pada malam semalam waktu Malaysia, Chen Long telah bermain lebih baik daripada DLCW dengan mengawal hampir keseluruhan gelanggang. DLCW melakukan banyak kesilapan di bahagian net dan tidak bermain secara agresif. Kelemahan ini dimanfaatkan oleh Chen Long dengan bermain lebih agresif dan 'smash' apabila saja terdapat peluang.

Saya berasa hampa dan kecewa dengan kekalahan DLCW ini kerana saya berharap sangat agar beliau berjaya membawa pulang Pingat Emas Sukan Olimpik yang pertama ke Malaysia sebelum beliau mula menggantungkan raketnya. Saya percaya, ramai peminat badminton dan rakyat Malaysia juga berasa begitu.

Walau bagaimanapun, Syabas dirakamkan kepada DLCW kerana telah melakukan yang terbaik, tetapi tewas kepada lawan yang bermain lebih cemerlang. Saya tidak menduga sama sekali bahawa Chen Long mampu bermain dengan begitu baik. Mungkin semangat juang final, mahu menebus kekalahan Lin Dan dan inginkan Pingat Emas pertama untuk dirinya telah mendorong dan membakar semangatnya untuk bermain dan berjuang mati-matian.

Tahniah diucapkan kepada pasukan Malaysia yang telah berjaya melakar prestasi paling cemerlang dalam sejarah Sukan Olimpik. Di Sukan Olimpik Rio ini mereka berjaya merangkul 4 Perak dan 1 Gangsa, mengatasi prestasi Sukan Olimpik pasukan Malaysia pada tahun-tahun sebelum ini.            

Sukan Olimpik Rio 2016 jelas berjaya bagi negara Brazil. Mereka melabuhkan tirai Sukan Olimpik Rio ini dengan penuh bergaya dengan kemenangan pasukan bola sepak Brazil mengatasi Germany melalui sepakan penalti selepas terikat 1-1. Kemenangan tersebut dilakukan pula oleh sepakan terakhir pemain sensasi dan pujaan mereka, tidak lain dan tidak bukan Kapten Brazil Neymar. Jutaan rakyat Brazil menyambut kemenangan tersebut dengan tangisan kegembiraan kerana Pasukan Bola Sepak mereka telah berjaya meraih Pingat Emas. Bagi negara Brazil, sukan bola sepak adalah nombor dua selepas Tuhan mereka.

Olimpik Rio 2016 berjaya dilangsungkan dalam suasana aman dengan beberapa rekod dunia dan Olimpik berjaya dilakarkan.

Dalam Olimpik Rio ini, Usain Bolt dan Michael Phelps telah muncul sebagai legenda sukan terbaru. Usain Bolt meraih 9 pingat emas dalam tiga Sukan Olimpik yang beliau sertai sementara Michel Phelps merangkul 23 emas dalam tiga Sukan Olimpik yang beliau ceburi.  

Walau apapun, Syabas dan Tahniah sekali lagi kepada pasukan Malaysia kerana di Sukan Olimpik Rio ini mereka berjaya melakar prestasi terbaik mengatasi pencapaian Malaysia di Sukan-Sukan Olimpik sebelum ini.

ends -

Comments

Popular posts from this blog

Apa Itu Konsep Malaysian Malaysia?

Rabu, 2 Mei 2018 - Saya ingin berkongsi sedikit maklumat tentang Konsep Malaysian Malaysia setelah membaca beberapa artikel mengenainya. Ramai di kalangan orang Melayu dan Bumiputera sekarang, masih keliru dan kabur mengenai Konsep ini, lebih-lebih lagi para remaja kita yang kurang arif tentang sejarah tanah air. Sehubungan itu, sukacita saya memaklumkan sedikit info mengenainya. Sebenarnya, banyak lagi yang perlu diperkatakan tentang Konsep ini! Slogan Malaysian Malaysia mula diuar-uarkan pada awal 60-an oleh mendiang Lee Kuan Yew dan rakan-rakannya di Singapura menerusi Malaysian Solidarity Council yang dinaungi oleh beberapa buah parti politik. Tujuan mereka memperkenalkan konsep itu adalah bagi membantah Article 153 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menyediakan pelbagai Hak Keistimewaan kepada Orang Melayu dan Bumiputera. Mereka berpendapat, bukan Melayu yang telah diberikan Kerakyatan berhak memiliki hak keistimewaan yang sama. Ini bererti kedudukan orang bukan Melayu...

Cecah 77 Tahun

 17 Oktober 2025 Alhamdulillah. Syukur kepada Allah SWT (The Greatest, The Almighty and The Most Merciful)), aku telah cecah usia 77 tahun, satu angka keramat, pada 12 Oktober yang lalu.  Dari aspek Kalendar Hijrah, aku telah berusia 80 tahun kerana aku dilahirkan pada tahun 1367 Hijrah. Ini bererti aku telah tua dan sarat dengan pengalaman hidup. Ini tidak bererti aku harus berdiam diri saja kerana menimba Ilmu Pengetauan, Pelajaran dan Pengalaman Hidup adalah Sepanjang Hayat.  A Life Long Learning and Experience. Tiada Noktah bagi menimba Mereka! Tarikh Hari Lahir ini juga bermaksud, aku telah hidup di bumi Allah ini selama 77 tahun, dalam keadaan, walaupun agak lemah sedikit disebabkan oleh faktor usia, tetapi masih sihat, kuat dan aktif dari aspek fizikal dan mental. Alhamdulillah. Aku masih boleh bergerak ke sana sini (Good Mobility) tanpa sebarang bantuan serta membaca, menulis, berfikir, mengingati (Memory), melihat, mendengar dan bertindak dengan baik. Aku masih m...

Saya Akan Terus Menulis

Okt 27, 2025 Selagi hayat dikandung bandan, saya akan terus aktif menulis di dalam Blog ini. Bukan apa, tetapi untuk memastikan otak saya terus tajam dan berfungsi dengan baik. Apabila menulis, saya terpaksa berfikir dan merujuk bahan-bahan lain untuk menyokong penulisan saya. Usaha-usaha ini akan merangsang dan menggerakkan otak saya, sekaligus menajamkan otak dan menjadikannya sihat. Otak kita adalah seperti otot. Otot perlu disenamkan selalu untuk kekal kuat dan sihat. Untuk kekuatan dan kesihatan otak, ia perlu disenamkan selalu dengan sering membaca, menulis dan berfikir. Kesihatan Fizikal dan Mental amat berkait rapat. Jika badan sihat, mental juga akan turut sihat. Jika kita sering bersenam dan bergerak, darah dan oksigen akan mengalir ke seluruh badan, termasuk ke jantung dan otak. Jantung akan bertambah kuat dan sihat, sementara sel otak (neurons) akan bertambah kerana mendapat bekalan darah dan oksigen yang mencukupi. Hasilnya, badan menjadi Cergas dan otak kita menjadi Cerda...