Skip to main content

MB Baru Terengganu - UMNO Atau PAS?

Khamis, 28 April 2016 - Seperti biasa, MB Terengganu, YAB Ahmad Razif telah mempengerusikan Mesyuarat Exco Terengganu pada pagi semalam. Walau bagaimanapun, masa depan beliau masih menjadi tanda tanya.

Difahamkan semua program beliau yang telah diatur sehingga hari Sabtu telah dibatalkan atas sebab-sebab tertentu.

Biasanya, apabila berlaku pergeseran antara MB dan pihak Istana, MB tersebut terpaksa berundur diri dan digantikan dengan MB baru kerana beliau tidak berupaya lagi untuk berfungsi atau menjalankan tugas harian dengan baik tanpa sokongan dan kerjasama pihak Istana. Selaku MB, beliau perlu sering berdamping dengan Sultan. Beliau perlu menghadap Sultan pada setiap minggu sebelum Mesyuarat Exco diadakan, perlu menasihati Sultan, perlu memaklumkan segala perkembangan negeri kepada Sultan serta perlu mengiringi Sultan di setiap majlis yang dihadiri oleh Sultan. Semua fungsi ini akan terbatas dan terjejas sekiranya MB tidak lagi mendapat kepercayaan Sultan. Sehubungan itu, MB tersebut perlu berundur dan MB baru perlu dilantik demi kelancaran pentadbiran negeri berkenaan.        

Kemelut yang sama pernah berlaku di Selangor, Kedah, Perak dan Pahang yang menuntut MB terbabit untuk berundur dan digantikan dengan MB baru. Kerjasama akrab antara pihak Istana dan MB amat penting demi ketenteraman, pembangunan, kemajuan dan kelancaran pentadbiran sesebuah negeri. Istana dan MB diibaratkan sebagai Aur Dengan Tebing, saling kukuh mengukuhi serta bertindak sebagai Check and Balance bagi mengelak sebarang salah laku Kerajaan Negeri.

Dimaklumkan pihak Istana Terengganu mahu ADUN tertentu untuk menjadi MB baru sementara UMNO dikatakan telah mencalonkan ADUN lain. Semua teka-teki ini akan terjawab apabila DS Najib menghadap Sultan Mizan, mungkin hari ini atau esok. DYMM Sultan mempunyai kuasa untuk memilih dan melantik seorang ADUN yang mendapat sokongan majoriti untuk menjadi MB.

Di Terengganu, UMNO menguasai 17 kerusi sementara PAS 14 dan PKR 1. Ini bermakna kedudukan Kerajaan UMNO amat genting dengan kelebihan 2 kerusi. Sekiranya 1 ADUN saja melompat menyertai pembangkang, kedudukan kerusi akan menjadi sama, 16 - 16 dan menjadikan Kerajaan Terengganu tergantung. Jika 2 ADUN beralih ke pembangkang, PAS dan PKR akan membentuk Kerajaan baru bersama 2 ADUN yang melompat. Perkara ini boleh berlaku jika dilihat pada situasi sekarang.

Bagi merungkai masalah ini sehingga PRU14, saya berpendapat UMNO dan PAS perlu bekerjasama untuk memerintah Negeri Terengganu secara bersama. Kerjasama 31 ADUN UMNO dan PAS pasti akan menjadikan Kerajaan Terengganu amat stabil. Tetapi, semua ini menuntut pengorbanan kedua-dua pihak. UMNO dan PAS perlu bertolak ansur serta mengenepikan segala keegoan dan kepentingan politik masing-masing. Mereka perlu mengutamakan kesepakatan dan perpaduan Ummah daripada politik kepartian. Mereka perlu memanfaatkan kesempatan ini untuk menjadikan Terenggganu sebagai sebuah negeri pertama yang mempraktikan Kerjasama antara UMNO dan PAS. Anggaplah Kerjasama ini sebagai permulaan kepada Kerjasama yang lebih besar di peringkat negara.

Dalam politik, semuanya adalah serba mungkin. In politics, everything is possible. Kerjasama ini boleh dilakukan. This collaboration is possible. Kalau hendak seribu daya, kalau enggan seribu dalih. Kalau tidak mahu bekerjasama sekarang, bila lagi? Politik Semenanjung adalah berbeza dengan politik Sarawak atau Sabah. Di Semenanjung, isu bangsa dan agama masih lagi relevan bersesuaian dengan suasana geopolitik Semenanjung.

Di Semenanjung, orang Melayu Islam tidak boleh berpecah. UMNO dan PAS perlu bekerjasama bagi menewaskan sekutu DAP, iaitu PKR dan PAN untuk memastikan DAP gagal menguasai persada Putrajaya. DAP adalah parti dominan dalam PH. Mereka mendominasi PKR dan PAN. Ini adalah satu realiti yang tidak boleh dinafikan. Sehubungan itu, satu Formula menang-menang (win-win Formula) untuk UMNO dan PAS perlu dicari bagi menjayakan rancangan ini. Para pemimpin UMNO dan PAS perlu duduk bersama dan membincangkan perkara ini mulai sekarang.          

Pendapat saya ini pasti tidak dipersetujui oleh ramai pemimpin UMNO dan PAS. Tetapi, saya lihat, inilah Formula yang terbaik bagi menyatukan orang Melayu Islam bagi menghadapi PRU14. InsyaAllah, Formula ini akan memastikan orang Melayu Islam terus bersatu, bekerjasama dan memerintah Malaysia selepas PRU14.



* Pandangan yang diberikan adalah pendapat peribadi saya tanpa dipengaruhi oleh sesiapa atau mana-mana pihak.

* The opinion given is purely mine without any external influence, without prejudice, without malice or ulterior motives.  
                      

    

Comments

Popular posts from this blog

Apa Itu Konsep Malaysian Malaysia?

Rabu, 2 Mei 2018 - Saya ingin berkongsi sedikit maklumat tentang Konsep Malaysian Malaysia setelah membaca beberapa artikel mengenainya. Ramai di kalangan orang Melayu dan Bumiputera sekarang, masih keliru dan kabur mengenai Konsep ini, lebih-lebih lagi para remaja kita yang kurang arif tentang sejarah tanah air. Sehubungan itu, sukacita saya memaklumkan sedikit info mengenainya. Sebenarnya, banyak lagi yang perlu diperkatakan tentang Konsep ini! Slogan Malaysian Malaysia mula diuar-uarkan pada awal 60-an oleh mendiang Lee Kuan Yew dan rakan-rakannya di Singapura menerusi Malaysian Solidarity Council yang dinaungi oleh beberapa buah parti politik. Tujuan mereka memperkenalkan konsep itu adalah bagi membantah Article 153 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menyediakan pelbagai Hak Keistimewaan kepada Orang Melayu dan Bumiputera. Mereka berpendapat, bukan Melayu yang telah diberikan Kerakyatan berhak memiliki hak keistimewaan yang sama. Ini bererti kedudukan orang bukan Melayu...

Cecah 77 Tahun

 17 Oktober 2025 Alhamdulillah. Syukur kepada Allah SWT (The Greatest, The Almighty and The Most Merciful)), aku telah cecah usia 77 tahun, satu angka keramat, pada 12 Oktober yang lalu.  Dari aspek Kalendar Hijrah, aku telah berusia 80 tahun kerana aku dilahirkan pada tahun 1367 Hijrah. Ini bererti aku telah tua dan sarat dengan pengalaman hidup. Ini tidak bererti aku harus berdiam diri saja kerana menimba Ilmu Pengetauan, Pelajaran dan Pengalaman Hidup adalah Sepanjang Hayat.  A Life Long Learning and Experience. Tiada Noktah bagi menimba Mereka! Tarikh Hari Lahir ini juga bermaksud, aku telah hidup di bumi Allah ini selama 77 tahun, dalam keadaan, walaupun agak lemah sedikit disebabkan oleh faktor usia, tetapi masih sihat, kuat dan aktif dari aspek fizikal dan mental. Alhamdulillah. Aku masih boleh bergerak ke sana sini (Good Mobility) tanpa sebarang bantuan serta membaca, menulis, berfikir, mengingati (Memory), melihat, mendengar dan bertindak dengan baik. Aku masih m...

Cerita Dongeng Orang Kampung, Pak Kadok, Lebai Malang Dan Si Luncai

Saya ingin berkongsi cerita dongeng Melayu yang pernah diceritakan oleh nenek-moyang saya dulu. Cerita dongeng orang-orang tua dulu, ada kalanya elok dikisahkan kembali untuk tatapan dan renungan kita bersama. Ia membawa banyak unsur peringatan, nasihat, teguran dan sindiran mendalam untuk kesejahteraan dan keselamatan cucu-cicit mereka di hari muka. Salah satu cerita dongeng yang suka diceritakan oleh orang-orang tua dahulu kala ialah kisah seorang anak kampung. Begini ceritanya. Pada suatu masa dahulu, terdapat seorang anak kampung yang tidak dapat tidur lena di dalam kelambunya kerana diganggu beberapa ekor nyamuk. Kerana terlalu marahkan nyamuk-nyamuk tersebut, Kelambunya Dibakar. Akibatnya, dia langsung tak dapat tidur nyenyak pada malam itu kerana diserang lebih banyak nyamuk. Pada keesokan paginya, dengan keadaan lesu, kusut-masai dan mengantuk, dia terus menuju ke reban untuk mengambil ayam sabungnya. Dengan ayam sabung di tangan bak Pak Kadok, dia terus mengorak langkah ...